Monday, 9 May 2011

Angkatan Kedua Lulus Ujian Waitankung


Angkatan Kedua peserta Ujian Waitankung dari Pusat Kelab Tasik Putrajaya telah menamatkan ujian mereka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Seri Kembangan pada 8 Mei 2011.

Ujian ini bertujuan untuk menentukan agar senaman Waitankung yang dilakukan adalah betul dan disahkan oleh panel penilaian yang bertauliah, selepas ini mereka akan diberikan sijil ujian dengan gambar.

Mana-mana peserta yang lulus dan berminat untuk menjadi ahli seumur hidup Waitankung dan menjadi jurulatih (kolar kuning) dapat meneruskan dengan ujian-ujian berikutnya sehingga diakui sebagai jurulatih.

Adalah sangat digalakkan peserta dari kalangan Melayu untuk terus aktif dan menjadi jurulatih kerana kita memerlukan lebih ramai jurulatih Melayu agar senaman yang diasaskan oleh Mahaguru beragama Islam, Tuan Haji Ali Chang Chih-tung dari Cina ini dapat berkembang di kalangan Bangsa Melayu.

Friday, 16 July 2010

Kumpulan Pertama Tamat Ujian Waitankung dari KTP, Putrajaya



Setelah lebih setahun Latihan Senaman Waitankung diadakan di Kelab Tasik Putrajaya akhirnya kumpulan pertama yang terdiri dari empat pelatih Waitankung Kelab Tasik Putrajaya telah berjaya lulus dalam Ujian Waitankung Peringkat Pertama yang telah diadakan pada 8 Mei 2010 di Cheras. Mereka ialah Datin Latifah Ismail, Syarifah Maznah, Hasnul dan Norizan. Semua jurulatih mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan mereka dan berharap mereka akan lebih tekun menjalankan latihan Waitankung dan menjadi barisan jurulatih baru untuk melatih ahli-ahli baru pula kemudian.

Saturday, 9 January 2010

Seminar Waitankung di Kelab Tasik Putrajaya


Tidak ada kebahagiaan yang lebih kita dambakan daripada bahagia mempunyai kesihatan yang baik dan kalau boleh sempurna. Masyarakat pada umumnya belum sedar tentang betapa pentingnya memelihara kesihatan. Saya memilih untuk mempelajari senaman Waitankung sejak 1997 bermula di Kajang dan sekarang mengendalikan senaman Waitankung yang telah dipopularkan oleh Tuan Haji Ali Chang Chih-tung, Mahaguru Waitankung asal China.

Bagi menambah pengetahuan tentang Senaman Waitankung, maka suatu seminar Waitankung akan diadakan pada hari Ahad, 24 Januari 2010, mulai jam 9.30 pagi bertempat di Dewan Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya.

Saya menyeru seluruh masyarakat yang prihatin tentang kesihatan untuk datang dan memulakan senaman yang sangat berharga ini.

Friday, 23 October 2009

Konvensyen Waitankung di Taiwan


Saya baru pulang daripada Konvensyen Waitankung di Taiwan. Konvensyen "World Tankung Federation" buat pertamanya telah diadakan di Taoyuan pada 15 - 17 Oktober 2009,dan telah dihadiri oleh sekitar 10,000 orang. Wakil dari Malaysia ialah 199 orang yang diketuai oleh Presiden Waitankung Malaysia, Bro David Chong. Kami juga telah dibawa melawat tempat Mahaguru Waitankung, Tuan Haji Ali Chang Chih-tung mempraktekkan Waitankung iaitu di bawah lindungan sebuah pohon yang masih ada hingga sekarang. Tahun 2010, konvensyen akan diadakan di Singapura dan ini akan memberi kesempatan kepada ahli Waitankung untuk menghadirinya.
Dalam lawatan kami selama 8 hari, banyak pengalaman yang telah dikumpulkan dan akan saya ceritakan satu per satu kemudian.

Saturday, 20 June 2009

Waitankung Bermula di Kelab Tasik Putrajaya



Pada pagi yang hening, 21 Jun 2009, jam 7.30 telah bermula satu senaman sepanjang hayat yang dinamakan Waitankung di Perkarangan Kelab Tasik Putrajaya. Pada sesi perasmian ini telah mendapat sambutan yang menggalak daripada penduduk sekitar Putrajaya dan Bandar Baru Bangi.

Senaman yang telah diasaskan oleh Maha Guru Senaman Waitankung, Tuan Hj Ali Chang Chih-tung dari Taiwan telah masuk ke Malaysia sejak 1973. Maha Guru Hj Ali merupakan seorang warga Cina berugama Islam dan telah mengamalkan Senaman Waitankung sepanjang hayat beliau. Kita bacakan Al-fatihah kepada Allahyarham Tuan Hj Ali yang telah mengasaskan senaman berkhasiat ini yang telah diturunkan kepadPa kita oleh anak-anak didik beliau.

Senaman waitankung dikendalikan oleh guru-guru yang bertauliah di bawah naungan Persatuan Waitankung / Neitankung Malaysia, sebuah persatuan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan beribu pejabat di Taman Kiara, Puchong.

Senaman Waitankung diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 7.15 pagi di Perkarangan Kelab Tasik Putrajaya dan semua ahli masyarakat adalah dijemput untuk mengikuti senaman ini demi kesejahteraan dan kesihatan kita semua. Ramai diantara pengamal senaman ini yang telah sembuh daripada penyakit masing-masing seperti “migraine”, sakit ulu hati, gastric, darah tinggi, bahu beku dan lain-lain. Penyembuhan yang berlaku secara semula jadi ini telah menarik minat manusia di seluruh dunia dan cawangan-cawangan waitankung telah diujudkan di seluruh dunia bagi kebaikan manusia sejagat.

Keterangan lebih lanjut boleh didapati dari laman web berikut:
http://www.waitankung.com atau http://www.waitankung.org