Friday 5 August 2011

Senaman umur panjang

Pada pertengahan tahun 1997 aku menghadiri usrah di rumah Ust. Razali Nawawi, seorang naqib kami yang berpengalaman.

Usai majlis aku berjumpa Tuan Syed Kamaruzaman Syed Kabir yang sudah lama tidak ku temui. Beliau sibuk dengan tugas beliau di Lembaga Letrik Negara dan aku pula sibuk mengajar di Universiti Putra Malaysia.

Aku tidak ingat bagaimana persoalan umur panjang ini timbul, tetapi dia menceritakan yang dia ada mengikuti sejenis senaman Cina yang diberi nama Waitankung. Aku menjadi tertarik kerana beliau mengatakan asal usul senaman Waitankung itu bermula di kalangan Maharaja Cina yang mempunyai ramai gundik.

Mereka ingin sekali berumur panjang kerana ada Maharaja Cina yang mempunyai sekitar 100 hingga 200 gundik dan tidak semua akan mendapat layanan yang saksama dan kadang-kadang tidak sempat pun berjumpa buat kali kedua dan seterusnya.

Al-kisah, menurut cerita yang empunya cerita, diadakan pertandingan mencari senaman yang boleh memanjangkan umur. Setelah dipertandingkan sekian banyak cara memanjangkan umur, Waitankung keluar sebagai juara. Pada asalnya senaman ini hanya terbatas kepada istana saja.

Apabila terjadi peperangan antara puak komunis dan puak nasionalis di Cina, maka Tuan Hj. Ali Chah Chi-tung salah seorang pengamal Waitankung, berpuak nasionalis dan beragama Islam telah menyeberang ke Taiwan dari tanah besar Cina dan memulakan senaman Waitankung di Taiwan. Beliau mengumpulkan orang-orang tua yang sakit-sakit dan siapa yang berminat dan dalam masa tidak berapa lama kebanyakan dari penyakit yang mereka hadapi berangsur-angsur sembuh.

Huraian tentang senaman ini akan dilanjutkan dalam bahagian yang lain.

Setelah mendengar pengakuan Syed Kamaruzaman, maka besok paginya yang jatuh pada hari Ahad pada tahun 1997, saya terus ke Stadium Kajang tepat jam 7.00 pagi. Ketika aku sampai di tempat, belum ramai peserta yang berkumpul dan kami menunggu “syifu” yang akan mengajar senaman.

Sebaik saja “syifu” sampai aku berjumpa beliau dan menyatakan hasrat untuk menjalani senaman Waitankung. Beliau gembira kerana ada orang Melayu yang minat. Aku lihat ada beberapa kawan Melayu yang lain seperti Fatimah Mohamad dan Zamani. Semua arahan dan penerangan dalam Bahasa Mandarin, satu patah pun aku tidak faham, kecuali perkataan “wo men” yang bermakna kita.

Mulailah detik-detik permulaan penglibatan ku dalam senaman Waitankung. Di Kajang, senaman ini diadakan setiap hari Ahad jam 7.00 pagi dan Khamis, malam Jumaat jam 8.00 malam.

Persoalan umur bergantung kepada kehendak Allah semata-mata, yang kita namakan takdir. Walau pun sejak lahir kita telah ditentukan oleh Allah tentang hal-hal rezeki, umur dan lain-lain namun melalui doa kita boleh mohon Allah meminda sedikit kejadian yang sudah ditetapkan itu. Tindakan aku mengikuti senaman itu pun juga berbentuk doa, tetapi dalam bentuk doa dan tindakan.

Sejak 1997 hingga kini aku telah mengikutinya selama 14 tahun dan pada tahun 2009 telah diamanahkan oleh Persatuan Waitankung dan Neitankung Malaysia untuk memulakan senaman Waitankung di Putrajaya dan kami memilih Kelab Tasik Putrajaya kerana persekitarannya yang nyama dan udaranya tasiknya yang bersih.

Sebelum menjalankan senaman, aku mempunyai penyakit gastric namun selepas enam bulan menjalankan senaman ini penyakit itu sudah tiada. Rata-rata yang bertemu muka dengan aku menyatakan umurku 10 tahun lebih muda. Berbalam perasaanku. Tapi aku rasa sungguh sihat dan bertenaga untuk meneruskan hidup dengan berbakti kepada sesama manusia.

Semua bangsa ada dalam kumpulan senaman Waitankung, sejak menjadi ahli seumur hidup Waitankung dan mendapat pengiktirafan colar kuning (Yellow Collar) yang bermakna jurulatih, aku lebih yakin dengan senaman ini.


Dalam lawatan kami ke Taiwan pada 14 hingga 21 Oktober 2009, meghadiri Konvensyen Waitankung Sedunia, kami sempat menziarahi tempat mengajar Mahaguru Waitankung, Tuan Hj. Ali Chah Chi-tung dan membaca Al-Fatihah untuk beliau. Sebagai seorang guru sukan Islam beliau menggunakan masa beliau pada dini hari untuk mendalami teknik senaman Waitankung dan hasilnya Waitankung sudah diterima sebagai senaman yang sangat bermanfaat.

Ketika aku bertugas sebagai pensyarah kontrak di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), aku tetap mengikuti senaman Waitankung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khoon Aik di Kangar. Ke mana pun kita pergi kita boleh mencari tempat senaman Waitankung melalui http://www.waintakung.org yang terdapat di seluruh Malaysia.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Bersikap positif dan proaktiflah.

Kenapa orang Cina sangat aktif dalam senaman yang diasaskan oleh seorang Muslim berbangsa Cina, sepatutnya senaman ini subur di kalangan orang Melayu yang Islam. Pemerhatian aku bahwa orang Melayu tidak serius dalam menjaga kesihatan mereka Nampak jelas dengan sambutan yang tidak menggalakkan.

Kalau ada yang datang pun hanya datang beberapa kali saja, padahal kita semua tahu, penyakit itu datang seperti rebut dan sembuhnya seperti semut. Kena banyak bersabar dan berdoa. Bukan boleh dalam satu hari penyakit yang dikumulatifkan selama bertahun-tahun sembuh dengan tiba-tiba. Logiklah sikit.

Insya Allah dengan umur panjang yang sehat yang diberikan oleh Allah boleh kita gunakan untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan kepada agama Allah iaitu Islam. Kita berikan contoh terbaik.

Mari kita sihatkan badan kita dan juga minda kita melalui fikiran yang positif dan proaktif.

No comments:

Post a Comment