Saturday 30 July 2011

Migraine kronik boleh sembuh dengan senaman Waitankung

Saya, Fatimah bt Mohamad mula menyertai Senaman Waitankung setelah seorang kawan Cina memperkenalkannya kepada saya. Sebelum mengamalkan Senaman ini, kesihatan saya sering terganggu kerana serangan Migrane yang kronik. Saya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk rawatan penyakit tersebut.

Selepas mengikuti Senaman ini, dengan izin Allah, serangan Migraine semakin berkurangan. Waitankung dapat melancarkan perjalanan darah, menguatkan otot-otot dan sendi-sendi. Senaman ini juga membantu meningkatkan taraf kesihatan saya.

Saya rasa bersyukur kerana tidak lagi mengalami serangan Migraine selepas mengamalkan Senaman ini.

Fatimah bt Mohamad
Jurulatih Unit Waitankung Bangi
Cikgu bersara.

Tuesday 19 July 2011

Majlis Penyampaian Sijil Waitankung 24 Julai 2011 (Ahad)

Suatu majlis ringkas penyampaian sijil Waitankung kepada peserta yang telah menjalani ujian Waitankung akan diadakan pada 24 Julai 2011, jam 9.00 pagi selepas latihan senaman Waitankung di Kelab Tasik Putrajaya.

Semua ahli Waitankung Bangi dan Putrajaya dijemput hadir, harap telefon Norizan Othman di nombor 0103187747 jika anda ingin menyertai majlis tersebut pada atau sebelum 23 Julai 2011 (Sabtu), supaya kami dapat menyediakan sarapan pagi secukupnya.

Majlis ini juga menjadi majlis kesyukuran kepada ahli-ahli Waitankung yang lulus ujian Waitankung yang telah diadakan di SRJK(C) Sri Kembangan pada 8 Mei 2011. Mereka yang telah lulus ternyata rajin menjalankan latihan senaman mereka setiap Sabtu dan Ahad.

Semoga senaman yang diasaskan oleh Tn Hj Ali Chah Chi-tung ini menjadi amalan bagi menjaga kesihatan kita.

Juga diumumkan pada masa bulan puasa nanti, senaman tetap dijalankan seperti biasa.

Saturday 16 July 2011

Senaman Waitankung untuk kesehatan optima.



Ilham untuk memuatkan testimoni peserta Waitankung Kelab Tasik Putrajaya baru saja muncul ketika matahari hampir akan segera menampakkan diri pada 16 Julai 2011. Namun timbul persoalan siapakah yang akan saya temubual untuk siri pertama ini.

Teringat saya kepada pelatih rajin kami Norizan Othman yang pertama kali melakukan senaman Waitankung suara sedawanya memecah kesunyian suatu pagi minggu di Kelab Tasik Putrajaya semasa sesi latihan rutin kami baru saja bermula.

Selepas saja latihan Waitankung pada 16 Julai 2011, jam 9.00 pagi saya menemubual Norizan Othman di salah sebuah meja restoran Kelab Tasik Putrajaya. Beliau yang juga merangkap Setiausaha dan Bendahari Kumpulan Waitankung Kelab Tasik Putrajaya yang diketuai oleh Datin Latifah Ismail telah bersedia untuk berkongsi pengalaman beliau dalam senaman Waitankung.

Ketika ditanya kenapa beliau tertarik untuk menyertai senaman Waitankung, beliau mengatakan hasrat menyertai timbul ketika beliau melihat sendiri bagaimana sekumpulan peserta melakukan senaman setiap pagi Sabtu dan Ahad di kawasan menghadap tasik Putrajaya, beliau selalu berjoging dan berjalan kaki mengelilingi Tasik Putrajaya sebagai senaman rutin hujung minggu.

Beliau mula mendaftar sebagai peserta senaman Waitankung di Kelab Tasik Putrajaya sejak 31 Oktober 2009 dan terus aktif menjalankan senaman ini sehingga sekarang. Enam bulan selepas mengikuti senaman Waitankung beliau telah menjalani ujian kefahaman gerakan senaman Waitankung dan telah lulus dengan cemerlang.

Apabila saya memperkenalkan diri saya berasal dari Baling beliau terus terkenang arwah ayah beliau yang diserang hendap pihak komunis ketika pasukan ayahnya membuat tinjauan strategik di kawasan Bukit Legong pada tahun 1976. Dalam serang hendap terhadap 8 orang tentera kita, pihak komunis telah mengorbankan 7 orang askar Melayu dan nasib menyebelahi ayahnda beliau yang tercampak ke sungai dan dapat menghindari buruan komunis dan terselamat. Ayah beliau, Othman Tajib telah dilahirkan pada tahun 1933 dan berkhidmat dengan Batalion 17 Regimen Askar Melayu Di Raja (17 RAMD).

Mengimbau kembali sejarah kesihatan beliau, Norizan menceritakan bahwa beliau telah mengalami koma selama dua (2) bulan di Hospital Putrajaya akibat terjatuh di bilik air ketika pantang bersalin. Beliau telah mengalami pendarahan hidung yang teruk. Ini terjadi pada tahun 2004. Ketika itu buah pinggangnya tidak berfungsi dan terpaksa menggunakan peralatan “drip” untuk memasukkan cairan ke tubuh beliau. Setelah mendapat rawatan yang rapi dari Hospital Putrajaya kesihatan beliau beransur pulih dan melakukan rawatan fisioterapi bagi memulihkan anggota badan beliau yang masih lemah.

Beliau memilih senaman Waitankung kerana gerakannya memfokus kepada kaedah pernafasan yang betul dalam menggerakkan tenaga dalaman (chi) ke seluruh badan. Senaman ini memberikan beliau ketenangan dan rasa damai yang menyeronokkan. Kalau dulu badan beliau banyak angin dan selalu bersedawa, tapi kini tiada lagi angin yang menggangu keselesaan hidup beliau. Kini beliau adalah suri rumah tangga sepenuh masa, selepas berkhidmat dengan kerajaan selama 12 tahun sebagai Penolong Akauntan di Majlis Daerah Raub, Pahang. Suri rumah yang memilik diploma dalam perakaunan dari UiTM ini telah berkhidmat sebagai perunding percukaian selama empat (4) tahun sebelum bertugas di Majlis Daerah Raub.

Beliau melakukan senaman Waitankung setiap hari pada waktu pagi sebagai amalan harian dan gembira dengan kesan senaman ini terhadap kesihatan beliau yang optima. Beliau menyeru kepada semua anggota masyarakat untuk membudayakan senaman demi kesihatan dan kesejahteraan keluarga. Beliau menyarankan agar masyarakat umum menyertai senaman Waitankung di mana saja mereka berada.

Maklumat lanjut senaman Waitankung boleh dilihat di laman web http://www.waitankung.org/ yang turut menyenaraikan seluruh pusat kegiatan Waitankung di Malaysia. Hubungi mereka untuk anda menyertai senaman yang ternyata berkesan ini.

Penemubual: Prof. Madya Dr. Ismail Bin Abdullah, 019-3860824.